26 October, 2009

Kuala Lumpur, Tuan Rumah AFS Antarabudaya

Kuala Lumpur, AFS (American Field Service) Antarabudaya Malaysia ditubuhkan pada 1958. Sejak itu, ia telah berkembang dan kini aktif menghantar 200 pelajar tempatan dalam program pertukaran budaya ke luar negara setiap tahun.
Menurut kenyataan AFS, terdapat 15 cawangannya di seluruh Malaysia dan selepas 51 tahun kewujudannya, sebuah program tajaan YES (Youth Exchange Study) AFS Malaysia diperkenalkan. Program yang berprestij itu telah melahirkan ramai alumni yang berjaya dalam bidang masing-masing, antaranya Datuk Mahadzir Lokman, Datuk Hamidon Ali dan Datuk Yasmin Yusuff.
Terbaru, kira-kira 300 delegasi dari 53 buah negara dijangka menghadiri Kongres Sedunia AFS kali ke-22 di Kuala Lumpur pada 20 hingga 25 Oktober ini.
AFS adalah sebuah badan antarabangsa sukarela bukan kerajaan yang tidak mengaut keuntungan.
Setakat ini, AFS mempunyai jaringan di 52 buah negara dengan penglibatan kira-kira 11,000 pelajar, belia dan pendidik dalam program anjurannya setiap tahun.
Kongres Sedunia AFS yang bertemakan Bridging Cultures (Acting on the Vision) itu akan diadakan di Hotel Grand Dorsett, Kuala Lumpur.
"Tema Kongres Sedunia ini amat bersesuaian dengan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai penduduk majmuk berbilang kaum dan agama.
"Sudah pasti, ia menjanjikan pelbagai keunikan budaya dengan semangat Penyatuan dalam Kepelbagaian," kata Pengarah Nasional Antarabudaya Malaysia, Atty Sulaiman.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Kongres Sedunia, Khalilah Datuk Mohd. Talha memberitahu, pihaknya mengalu-alukan kehadiran delegasi antarabangsa ke Malaysia.
Menurutnya, pihaknya akan memastikan perjalanan kongres itu berjalan lancar.
"Malam gala akan menjadi acara penutup program dan ia dijadual berlangsung pada 24 Oktober ini di Hotel Nikko, Kuala Lumpur. Ia akan dijayakan oleh pengacara terkemuka yang juga bekas pelajar AFS, Datuk Mahadzir Lokman," katanya.
Sementara itu, Mahadzir berkata, malam gala itu akan menjadi platform yang unggul bagi Malaysia untuk menampilkan keunikan budayanya.
"Ia melibatkan bakal pelajar pertukaran AFS dari luar negara dan bekas pelajar AFS, keluarga angkat serta delegasi khas. Kesemua mereka akan menjayakan persembahan International Showcase pada hari itu," kata Mahadzir.
Bertemakan Batik Elegan, malam gala itu akan menjadi medan pertemuan delegasi, sukarelawan, alumni AFS, rakan-rakan korporat dari seluruh negara dan media yang selama ini menyokong usaha AFS Antarabudaya Malaysia dalam meraikan kepelbagaian budaya
(Sumber Kosmo 261009)

No comments:

Post a Comment