10 November, 2009

274 terima darjah kebesaran dan pingat Persekutuan




Utusan Malaysia Online - Terkini
Sila klik pada gambar untuk membaca rencana.


Nama : Istana Negara
Lokasi : Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, Kuala Lumpur
No. Lot : 404, 403, 32, 55, 502, 503 & 97
Hakmilik Bangunan / Tanah : Kerajaan Persekutuan
Tahun Dibina : 1928

Latar Belakang Sejarah :
Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah di Istana Negara pada 26 April 2007 yang lepas dijangka menjadi upacara pertabalan terakhir yang diadakan di situ sebelum Istana Negara berpindah ke kompleks baru Jalan Duta yang dijangka siap pada tahun 2009. Istana Negara yang terletak di lereng Bukit Petaling, Jalan Istana berhadapan Jalan Syed Putra dan Sungai Klang merupakan tempat bersemayam rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sejak negara mencapai kemerdekaan.

Istana yang pada mulanya merupakan sebuah banglo milik jutawan dari China, Chan Wing, dibina pada 1928 dengan kos RM150,000 di kawasan seluas 11.34 hektar, mempunyai sejarah yang tersendiri. Pada zaman pemerintahan Jepun pada tahun 1940an, banglo itu dijadikan pusat pemerintahan tentera dan sebagai mes pegawainya, dan selepas tentera Jepun berundur dari Malaya, bangunan itu dibeli oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai Istana Bersemayam Sultan Selangor, Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah yang kembali bertakhta apabila pendudukan Jepun berakhir.


Bangunan indah itu kemudian dibeli oleh kerajaan Persekutuan pada 1957 dengan kos RM1.4 juta, dan diubahsuai dengan kos sebanyak RM328,000 bagi memastikan ia sesuai sebagai tempat bersemayam raja memerintah sebuah negara yang baru merdeka. Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman Ibni Tuanku Muhammad adalah yang pertama bersemayam di Istana Negara, bangunan putih ditandai dua kubah kuning diraja itu, beberapa minggu sebelum pengisytiharan kemerdekaan. Senibina istana ini diubahsuai oleh E.K Dinsdale, arkitek Jabatan Kerja Raya, sementara kerja pengubahsuaian oleh kontraktor tempatan hanya mengambil masa empat bulan meliputi keseluruhan bangunan tanpa menyentuh struktur utamanya. Hasil pengubahsuaian bangunan itu yang mempunyai 13 bilik, kini mempunyai 20 bilik, dapur besar yang boleh memuatkan 100 orang, dewan menghadap, empat bilik tetamu yang luas, dua dewan masuk dan sebuah dewan santapan. Pembinaan Balairong Seri sementara untuk digunakan pada hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong menelan belanja sebanyak RM170,000 tetapi pada akhir 1957 ia dirobohkan dan diganti dengan Dewan Persidangan yang lebih besar. Pada tahun 1980, Istana Negara diubahsuai lagi secara besar-besaran bagi mengangkat martabatnya sebagai kediaman rasmi pemerintah tertinggi negara dengan penambahan Balairong Seri Utama yang menempatkan singgahsana. Ianya merupakan singgahsana pertama dibina dalam Istana Negara untuk majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong kerana sebelum itu acara pertabalan diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman di Jalan Ampang.

Singgahsana baru telah dibina di bawah perancangan arkitek kanan Jabatan Kerja Raya Kapt. David Wee, yang telah menggabungkan lambang kebesaran raja-raja di negara ini. Pertabalan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar sebagai Yang di-Pertuan Agong Ketujuh pada 1980 merupakan pertabalan pertama diadakan di Balairong Seri yang baru siap ini. Selain untuk upacara pertabalan, Balairong Seri juga digunakan bagi jamuan negara, majlis keputeraan dan penganugerahan pingat, tempat bersembahyang terawih dan syarahan agama. Istana Negara juga mempunyai satu lagi singgahsana kecil, diwujudkan di tingkat atas bagi Yang di-Pertuan Agong menerima dan menyerah watikah perlantikan duta dan pesuruhjaya tinggi. Di Bilik Duta yang terletak di tingkat bawah adalah tempat Seri Paduka beramah mesra dengan duta dan pesuruhjaya tinggi yang baru dan ia juga digunakan bagi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri menghadap Seri Paduka setiap pagi Rabu sebelum mereka mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet. Istana Negara juga mempunyai Dewan Kecil tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong dengan raja-raja lain, sementara Bilik Permaisuri pula adalah tempat kaum kerabat Diraja menghadap Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong dan juga bagi acara tidak rasmi.


Di sebelah Balairong Seri ialah Bilik Mesyuarat Raja-Raja, tempat berlangsungnya mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu setiap tahun sementara Bilik Menteri pula adalah merupakan tempat menunggu sebelum dipanggil menghadap. Selain bilik-bilik khas itu, dewan badminton yang terletak di perkarangan istana juga digunakan untuk majlis yang melibatkan bilangan besar orang ramai seperti majlis penyampaian hadiah kepada fakir miskin yang diadakan setiap bulan Ramadan. Tempat rekreasi lain yang disediakan dalam perkarangan istana ialah gelanggang tenis, gimnasium dan kolam renang. Istana Negara juga mempunyai Balai Polisnya sendiri selain pengawal yang istana terdiri daripada anggota Batalion Pertama Askar Melayu Diraa sejak tahun 2001. Pengawal berkuda disediakan untuk mengawal pintu masuk dari pukul 8 pagi hingga 5 petang yang turut menjadi tarikan pelancong. Istana Negara, dan istana-istana raja di Malaysia adalah lambing keunggulan institusi diraja dan akan terus menjadi kemegahan negara.




Gambar 2 : Pelan Lokasi Istana Negara
Maklumat Lanjut



Sumber: Jabatan Warisan Negara

No comments:

Post a Comment